Program Terkini....

Image Hosted by ImageShack.us

TV Online... Peace TV

Persoalan berkaitan Yahudi

Persoalan berkaitan yahudi

Saturday, July 18, 2009

Kenduri Arwah

Soalan:

Salam,

Kepada semua ahli usrah ipmj, saya memohon maaf sekiranya tidak dapat menjawab
soalan (ataupun jawapannya silap) ketika usrah ahad lepas dengan dalil dan
rujukan yang sahih. Oleh itu mungkin kita boleh mendapatkan penjelasan ustaz
untuk merungkaikan persoalan ini dengan lebih terperinci.

Usrah ahad lepas ahli ada bertanyakan berkenaan dengan hukum:

1. Kenduri Arwah (acara tahunan)

Harap ustaz dapat jelaskan mungkin saya tersilap jawab ataupun tidak jelas.

Jzkk.

Jawapan:

Oleh: Ust. Khairul Azmi Ismail

KENDURI ARWAH.

(Disini saya cuba menampilkan pandangan ulama' berkaitan masalah ini. Ini kerana
masalah ini sering dibincangkan dan tidak kurang juga berlakunya perbalahan
disebabkan masalah ini.)

Berkata Syeikh Abdul Qadir Isa di dalam kitabnya `Al-Mizan Al-`Aadil':
"Sesungguhnya di dalam masalah jamuan selepas kematian, para ulama ada dua
pandangan:

Pandangan pertama.

Sebahagiannya berpendapat makruh bagi keluarga si mati menyediakan makanan utk
org ramai, dan ada yang mengharamkannya.

Dalil-dalil mereka.

Dalil pertama.
Imam Ahmad, Ibnu Majah meriwayatkan dengan sanad yg sohih dari Jarir bin
Abdillah katanya: "Kami menganggap perhimpunan dengan keluarga si mati dan
menyediakan makanan termasuk di dalam `Niyahah' (ratapan yg dilarang)

Berdasarkan ini ulama Hanafiyyah berkata : "Makruh menyediakan makanan pada hari
pertama, kedua ketiga dan selepas seminggu (dari kematian) (Lihat Hasyiah Ibnu
Abidin Jld 2 MS 240)

Dalil kedua.
Imam At-Tirmizi, Al-Hakim dan lain-lain meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda
(ketika kematian Ja'far) :

اصْنَعُوا
لِأَلِ
جَعْفَرَ
طَعاماً
فَقَدْ
جاءَهُم ما
يُشْغِلُهُم

Maksudnya : " sediakanlah makanan kepada keluarga Ja'far , sesungguhnya telah
datang kepada mereka apa yg menyibukkan mereka (musibah)
Hadis ini dihukum Hasan oleh At-Tirmizi dan sohih menurut Hakim.

Mereka berkata: "Sesungguhnya (menurut) sunnah ialah jiran si mati atau
keluarganya yg jauh dengan si mati menyediakan makanan kepada keluarga si mati
pada hari dan malam tersebut". Inilah pandangan jumhur ahli feqh termasuk
ulama'-ulama dalam mazhab empat.

Pendapat kedua.

Ada sebahagian ulama lain berpendapat harus bagi keluarga manyediakan makanan
(kpd org ramai) walaupun pada hari pertama kematian.

Dalil-dalil mereka:

Dalil pertama.
Imam Ahmad bin Mani' meriwayatkan di dalam musnadnya dari Al-Ahnaf bin Qais
katanya : "Ketika Sayyidina Umar ditikam , dia menyuruh Suhaib mengimamkan
sembahyang tiga hari dan dia menyuruh supaya disediakan makanan kepada orang
ramai (iaitu selepas kematiannya)

Kata Ibnu Hajar Al-Asqallani: Sanadnya Hasan. (Matholib Aliyah jld 1 ms 199, No
hadis 709)

Dalil kedua.
Imam Ahmad meriwayatkan di dalam `Az-zuhd' dari Thowus (seorang ulama tabien)
katanya: "sesungguhnya orang yg telah mati menghadapi fitnah kubur selama tujuh
hari, dan mereka (sahabat atau tabien) menyukai makanan disediakan pada hari
tersebut utk mereka (si mati dengan di niatkan pahala sedekah kepadanya)

Ibnu Hajar berkata : "Sanadnya kuat". (Matholib Aliyah no hadis 710)

Tarjih Syeikh Abdul Qadir Isa:
" Walaupun dalil pendapat kedua sahih tetapi tidak dapat menandingi dalil-dalil
pendapat pertama. Dengan ini aku mentarjihkan (menguatkan dan menyaokong) bahawa
perbuatan tersebut adalah makruh." (Al-Mizan Al-Aadil ms 69-70)

Syeikh Al-Hafiz Abdullah Siddiq Al-Ghumari pula mentarjihkan bahawa hukumnya
adalah harus. Di antara hujjahnya ialah penyediaan makanan tersebut samalah
seperti memberi upah dalam tugas-tugas keagamaan seperti membaca Al-Quran,
menjadi imam dan lain-lain (Lihat Itqanus Shon'ah fi Tahqiq Ma'na Al-Bidah
(terjemahan Us Mahfuz Muhammad Ms 93)

Syekh Abdul Halim Mahmud (mantan Syeikh Azhar) pula menegaskan bahawa perbuatan
tersebut adalah `khilaful aula' (iaitu lebih baik ditinggalkan tetapi tidak
sampai ke tahap makruh ataupun haram) (Lihat Fatawa Syeikh Abdul Halim Mahmud
jil 2 ms 272)

Kesimpulan.
1) Masalah ini masih boleh dikatogerikan dalam masalah khilafiyyah. Dalil-dalil
yg dikemukakan masih ada ruang untuk dimunaqasyahkankan (diperdebatkan), (saya
tidak mahu memanjangkan lagi munaqasyah kerana khilaf yg seperti ini mungkin
tiada kesudahan). Ia bukanlah satu dalil yang `qat'iyyut thubut' dan `qatiyyud
dalalah' (dalil yg benar-benar putus), dan oleh itu pintu ijtihad masih ada, dan
perbezaan ijtihad adalah perkara yg dibenarkan.

2) Hukum dalam masalah ini berlegar di antara haram atau bidah, makruh dan
harus. Tidak ada ulama yg menghukumnya wajib seperti sangkaan sebahagian
masyarakat. Ini semua adalah hukum yg `Zonni' bukannya `Qat'ie' yg tidak perlu
dijadikan perbalahan.

3) Masalah menghadiahkan bacaan kepada si mati adala masalah yg lain. Kebanyakan
ulama mengharuskannya.

Wallahua'lam.

Ust Khairul Azmi
12 nov 2008.

Rujukan
1. Al-Matholib Aliyah, Ibnu Hajar Al-Asqallani, Tahqiq Syeikh `Aazhomi.
2. Al-Fiqh Al-Islami, Dr Wahbah Zuhaili
3. Fatawa Syekh Abdul Halim Mahmud.
4. Al-Mizanul Aadil, Syeikh Abdul Qadir Isa.
5. Itqanus Shon'ah fi Tahqiq ma'na Al-Bid'ah, Syeikh Abdullah Al-Ghumari
6. Al Bidah fi Al-Mafhum Al-Islamy Ad Daqiq, Dr Abdul malik Sa'diy
7. dll.
Posted by Nama: Khairul Azmi Ismail at 8:41 PM 0 comments
Labels: BIDAH, FATWA DAN HUKUM, HADIS, KHILAFIYYAH

0 comments: